MCPF pandang serius kes pelajar tumbuk guru di sekolah

KENYATAAN MEDIA

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) memandang serius insiden seorang pelajar lelaki menumbuk gurunya seperti dilaporkan berlaku di sebuah sekolah menengah di Kajang baru-baru ini.

Kejadian ini bukan sekadar isu disiplin tetapi mencerminkan cabaran lebih besar dalam ekosistem pendidikan termasuk aspek kawalan emosi remaja, keselamatan guru dan ketegasan penguatkuasaan.

Meskipun MCPF tidak berpihak kepada mana-mana individu dalam kes ini, pihak kami menekankan bahawa sebarang bentuk keganasan di sekolah, sama ada dilakukan oleh pelajar mahupun warga pendidik, tidak boleh dikompromi. Tindakan agresif seperti menumbuk guru bukan sahaja mencabuli nilai hormat dalam institusi pendidikan, malah berpotensi mengancam keselamatan awam.

Menurut fakta kes, pelajar berkenaan telah mengaku bersalah dihadapan hakim Mahkamah Majistret Kajang semalam atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang guru berusia 29 tahun mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 September bagi laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.

Meskipun tertuduh merupakan seorang pelajar bawah umur, sistem kehakiman negara mempunyai saluran khas melalui Akta Kanak-Kanak 2001 untuk memastikan bahawa hukuman bersifat membina, bukannya semata-mata menghukum, sejajar dengan prinsip pemulihan.

Insiden ini menunjukkan wujudnya keperluan mendesak terhadap aspek psikososial pelajar, iaitu tekanan peribadi, pengaruh rakan sebaya, serta kekangan komunikasi antara guru dan pelajar. MCPF percaya bahawa gejala seperti ini mungkin berpunca daripada kegagalan sistem untuk mengesan tanda-tanda awal tekanan atau konflik dalaman dalam kalangan pelajar.

Justeru, MCPF mencadangkan agar pihak Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mengkaji semula dan menambah baik Dasar Pendidikan Negara serta Arahan Ketua Pengarah Pelajaran sedia ada bagi menyelesaikan masalah disiplin murid di sekolah. Ini termasuk kuasa budibicara dan skop pentadbiran dikecilkan diperingkat sekolah yang mana Guru Besar, Pengetua atau Pengawai Pejabat Pendidikan Daerah diberi kuasa untuk mengambil tindakan serta merta. Perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh oleh semua pihak.

Selain itu, MCPF turut menggesa pihak berwajib supaya memberi penekanan terhadap perkara-perkara berikut:

  1. Latihan pengurusan emosi dan konflik
    • Melaksanakan modul pengurusan kemarahan, empati dan kemahiran menyelesaikan konflik dalam kurikulum sekolah menengah rendah.
    • Memberikan latihan berkala kepada guru dalam mengenal pasti tingkah laku berisiko serta menangani provokasi pelajar secara profesional dan terkawal.
  2. Polisi Sekolah yang Tegas dan Konsisten
    • Menambahbaik prosedur tindakan disiplin dengan pendekatan yang telus, berpandukan piagam antara sekolah, pelajar dan ibu bapa.
    • Memastikan semua tindakan diambil dengan dokumentasi rapi dan berpandukan garis panduan Kementerian Pendidikan.
  3. Pemerkasaan Sokongan Psikososial di sekolah
    • Meningkatkan kapasiti kaunselor bertauliah dalam sekolah untuk menyokong pelajar yang berisiko tinggi.
    • Mengaktifkan sistem rujukan kepada agensi luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi kes yang kompleks.
  4. Peranan Komuniti dan Ibu Bapa
    • Mewujudkan program penglibatan komuniti sekolah seperti forum bersama, bengkel keibubapaan dan sesi dialog terbuka.
    • Menggalakkan komunikasi terbuka antara ibu bapa dan guru untuk mengenal pasti masalah awal.
  5. Pendidikan Pencegahan Jenayah di Sekolah
    • MCPF bersedia bekerjasama dengan sekolah untuk melaksanakan siri program kesedaran mengenai akibat perbuatan ganas dari perspektif undang-undang dan moral, termasuk melalui platform seperti Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ).

Insiden ini tidak harus dilihat sebagai kes terpencil, tetapi sebagai peluang untuk menilai semula mekanisme pengurusan disiplin dan hubungan antara pelajar-guru. MCPF percaya bahawa dengan pendekatan menyeluruh melibatkan pendidikan, pencegahan dan pemulihan, sekolah boleh kembali menjadi tempat yang selamat untuk semua.

MCPF menggesa semua pihak terutamanya Kementerian Pendidikan, pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti; untuk berganding bahu dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, penuh hormat dan bebas daripada unsur keganasan.

Dato’ Sri Ayub Bin Yaakob
Naib Pengerusi Kanan MCPF

Recent Posts

Upcoming Events

Infographic

grafik_pengantunan

Latest Video