Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyokong penuh langkah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di negara ini. MCPF melihat langkah proaktif ini amat penting dalam usaha melindungi kesihatan awam, khususnya golongan belia dan orang belum dewasa (OBD) yang semakin terdedah kepada risiko penggunaan produk berbahaya tersebut.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet Public Health pada 2024 merekodkan lebih sejuta individu di England kini menggunakan vape meskipun tidak pernah merokok sebelum ini. Perkara ini mencetuskan kebimbangan pakar kesihatan sedunia kerana vape kini bukan sahaja digunakan oleh perokok tegar untuk berhenti merokok tetapi telah menarik golongan yang belum pernah mengambil tembakau sebelum ini.
Pengguna vape terdedah penyakit kronik
Malah, tabiat menghisap vape atau rokok elektronik secara berterusan boleh mengakibatkan pengguna rokok elektronik itu terdedah kepada penyakit kronik seperti batuk, kahak berlebihan, sesak nafas serta keradangan paru-paru. Lebih parah, pengguna boleh mengalami kerosakan paru-paru akut atau dikenali sebagai ‘E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury’ (EVALI) yang boleh membawa maut.
EVALI adalah satu penyakit berkaitan kerosakan pada dinding salur pernafasan dalam paru-paru akibat penggunaan rokok elektronik. Pada Oktober 2019, Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat memaklumkan bahawa penyakit tersebut telah meragut 33 nyawa dengan 1,299 individu sudah didiagnosis. Di Malaysia, KKM melaporkan 41 kes EVALI dikesan berlaku di negara ini bermula 2019 hingga 30 September 2024.
Dalam pada itu, KKM juga telah mengeluarkan amaran bahawa kos rawatan penyakit berkaitan EVALI dijangka melonjak kepada RM369 juta setahun menjelang 2030. Setakat ini kos rawatan ditanggung kerajaan bagi penyakit EVALI dianggarkan RM150,892.11 bagi setiap pesakit yang dimasukkan ke hospital selama 12 hari.
Telahan umum bahawa menjadikan vape sebagai alternatif selamat berbanding rokok tradisional dalam mengurangkan ketagihan merokok ternyata meleset sama sekali. Malah ancaman penagihan vape lebih memudaratkan berbanding rokok tembakau. Hakikatnya, rokok elektronik mempunyai bahan kimia toksik yang mengakibatkan ketagihan nikotin yang boleh merosakkan paru-paru serta otak terutama dalam kalangan remaja.
Justeru, MCPF mendesak pihak berwajib di peringkat Persekutuan supaya mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik secepat mungkin. KKM sepatutnya perlu mencontohi enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang berani mengambil langkah proaktif pencegahan awal dengan menguatkuasakan larangan penjualan vape serta tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik itu.
MCPF berpendapat, jika perkara ini dibiarkan dan tidak ditangani lebih awal, maka ia dibimbangi semakin melarat seperti isu penagihan dan penyalahgunaan dadah yang kekal menjadi musuh nombor satu negara sejak 1980-an. Malah keadaannya semakin membimbangkan seperti ditegaskan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Berbilion ringgit telah dibelanjakan untuk memerangi penyalahgunaan dadah namun isu ini masih menjadi ancaman besar kepada negara.
Penyalahgunaan dadah bermula daripada tabiat merokok
Penagihan dan penyalahgunaan dadah bermula daripada tabiat merokok dan kini ia merebak dalam penggunaan vape. KKM perlu memberi perhatian utama terhadap saranan dan desakan oleh pelbagai pihak supaya mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik ini.
Selain itu, MCPF juga mencadangkan agar kempen kesedaran yang melibatkan media sosial dan media arus perdana seperti televisyen, radio, dan papan iklan diperhebatkan. Kempen ini perlu memfokuskan kepada golongan belia dengan mengguna pakai platform media sosial seperti Instagram, TikTok, dan YouTube. Tokoh belia, pempengaruh media sosial dan pengamal perubatan juga perlu memainkan peranan dalam berkongsi fakta sebenar mengenai risiko vape melalui penghasilan video pendek dan infografik menarik.
Sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan pencegahan jenayah, MCPF sentiasa bersedia untuk membantu kerajaan dan agensi terlibat dalam menyebarluaskan maklumat berkaitan kesan negatif akibat penggunaan vape, sekali gus meningkatkan kesedaran awam dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah.
Perketat kawal selia akta
Menyentuh aspek perundangan, MCPF mencadangkan KKM agar dapat memperketatkan kawal selia terhadap produk merokok melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). Selain itu, pemantauan berkala perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengesan penjualan produk vape secara haram menerusi platform dalam talian kepada golongan belia.
MCPF turut menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau dan bertindak secara bersepadu dalam menghentikan pembekalan dan perjualan rokok seludup. Keberadaan rokok seludup dalam pasaran memberi persepsi negatif kepada pihak berkuasa dan kerajaan dalam menangani gejala ini.
Akhir sekali, MCPF akan terus menyokong segala usaha yang bertujuan untuk melindungi kesihatan awam. MCPF percaya bahawa dengan penglibatan semua pihak, termasuk belia, keluarga, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, dan media, kita dapat memastikan kesedaran mengenai bahaya vape disebarkan secara lebih berkesan. Langkah ini akan menjadi satu titik perubahan dalam usaha kita menjaga kesejahteraan generasi muda dan masa depan negara.
Dato’ Sri Ayub Bin Yaakob
Naib Pengerusi Kanan MCPF