RUU Antibuli 2025: Langkah progresif perkukuh tanggungjawab sosial, cegah buli

KENYATAAN MEDIA

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyatakan sokongan penuh tanpa syarat terhadap pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 baru-baru ini yang membawa pendekatan lebih tegas, jelas dan bertanggungjawab dalam menangani gejala buli yang semakin membimbangkan di negara ini.

Dalam sesi penggulungan RUU tersebut di Dewan Rakyat, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, YB Dato’ Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa Tribunal Antibuli diberi kuasa untuk mengarahkan pembuli, ibu bapa atau penjaga membayar pampasan sehingga RM250,000, berdasarkan budi bicara tribunal.

Penetapan pampasan tanpa jumlah minimum menunjukkan fleksibiliti yang penting bagi memastikan keadilan kepada mangsa tanpa mengabaikan realiti kes. RUU ini diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Disember 2025 selepas ia dibahaskan oleh 27 Ahli Parlimen.

MCPF memandang ketegasan ini sebagai satu mesej jelas bahawa negara tidak lagi bertolak ansur dengan budaya buli, sama ada di sekolah, institusi pengajian atau mana-mana ruang sosial.

Lebih signifikan, RUU ini juga membolehkan tribunal mengikat ibu bapa atau penjaga yang terlibat dalam kes buli. MCPF menyambut baik pendekatan ini kerana ia mengukuhkan prinsip bahawa tanggungjawab membentuk sahsiah dan tingkah laku anak-anak bermula di rumah, bukan diserahkan bulat-bulat kepada sekolah dan guru.

MCPF menegaskan bahawa sudah tiba masanya semua pihak memahami bahawa perbuatan buli bukan sekadar “kenakalan” atau “gurauan kasar”, tetapi satu bentuk salah laku sosial yang boleh membawa kesan psikologi dan emosi yang mendalam kepada mangsa, serta menyumbang kepada risiko jenayah pada masa hadapan.

Sehubungan itu, MCPF menyokong penuh pelaksanaan Tribunal Antibuli sebagai mekanisme keadilan yang cepat, berkesan dan berautoriti; menggesa ibu bapa memainkan peranan aktif dalam memantau dan membimbing anak masing-masing selain pihak sekolah dan komuniti perlu memperkukuh program pencegahan, pendidikan sahsiah dan intervensi awal.

MCPF akan bekerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua agensi berkaitan dalam usaha pencegahan buli dan pembinaan masyarakat yang lebih selamat.

Justeru, MCPF akan terus komited menjadi rakan strategik kerajaan dalam memastikan budaya buli dibanteras secara tuntas dan tidak berkompromi. MCPF juga menyeru semua pihak untuk mengambil langkah proaktif dalam menghapuskan budaya buli di sekolah, institusi pendidikan dan komuniti.

“Buli Bukan Budaya, Ia Satu Jenayah”

 

Dato’ Sri Dr. King Lim Chin Fui

Naib Pengerusi

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Recent Posts

Upcoming Events

Infographic

Majlis Sejarah Negara

Latest Video