Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), YBhg. Dato’ Sri Ayub Yaakob telah diundang sebagai ahli panel dalam Program Semarak Merdeka 2025: Bicara Ilmu anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bertempat di Auditorium PNM pada 12 Ogos 2025.
Program yang bertemakan “Rukun Negara: Teras Perpaduan” ini diadakan bertujuan memupuk semangat patriotisme dan memperkukuh nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia, terutamanya generasi muda melalui penghayatan Rukun Negara.
Seramai 300 orang peserta terdiri daripada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Kuala Lumpur dan kakitangan PNM hadir ke program tersebut yang dikendalikan oleh pemudahcara program, YBrs. Tuan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.
Turut hadir mewakili Ketua Pengarah PNM ialah YBrs. Puan Anisatul-Wahidah binti Abdul Wahid, Timbalan Ketua Pengarah PNM. Majlis turut diserikan dengan bacaan puisi bertema kemerdekaan dan perpaduan oleh YBrs. Encik Badrul Hisham bin Ghazali dari Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, serta tayangan montaj khas program Bicara Ilmu.
Sesi Bicara Ilmu ini membincangkan 3 aspek perpaduan iaitu semangat kemerdekaan, Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara; dengan penekanan terhadap kepentingan lima prinsip Rukun Negara sebagai asas penyatuan rakyat, diikuti sesi soal jawab interaktif bersama hadirin.
Majlis turut dimeriahkan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik seperti Tanggal 31, Lima Prinsip Rukun Negara dan Jalur Gemilang.