Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) terus menyebarluas kempen kesedaran pencegahan jenayah dalam komuniti menerusi penglibatan dalam Sesi Townhall Kontinjen Sarawak “Berandau Begulai Mencegah Jenayah” anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Sarawak bertempat di Menara Kidurong, Lembaga Pelabuhan Bintulu pada 9 September 2025.
Program yang dihadiri kira-kira 200 orang melibatkan ketua-ketua jabatan kerajaan, kakitangan awam dan orang awam itu telah dirasmikan oleh YDH DCP Tuan Saifullizan Ishak, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak.
Pengisian program antara lain dua slot ceramah berkaitan peningkatan ancaman scam dan langkah-langkah pencegahan yang disampaikan oleh pegawai Bahagian Siasatan Jenayah serta Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Bintulu.
Kemuncak acara adalah forum pencegahan jenayah mengetengahkan Naib Pengerusi Kanan MCPF, Dato’ Sri Ayub Yaakob sebagai ahli panel yang bergandingan bersama SAC Dr. Parasuraman Subramaniam, Ketua JPJKK Sarawak dan ACP Mustafa Kamal Abdullah, Ketua JSJN Sarawak. Forum tersebut dikendalikan oleh Dr. Rajan Thangaveloo dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang bertindak selaku pemudah cara.
Beberapa perkara dikupas semasa forum berkenaan termasuk peranan komuniti dalam pencegahan jenayah, cara-cara menyalurkan maklumat kepada pihak polis dan kepentingan menghayati serta mengamalkan lima prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian.