EXCO MCPF dekati pelajar baharu UM, titip nasihat cegah jenayah

Thaiveegan_UM_02102026

Ahli EXCO Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), YBhg. Dato’ Seri Dr. Thaiveegan Arumugam telah mengadakan sesi ramah mesra bersama mahasiswa baharu India Universiti Malaya (UM) bertempat di kampus universiti berkenaan pada 2 Oktober 2026.

Sesi yang dihadri kira-kira 180 mahasiswa baharu UM itu merupakan anjuran dan jemputan Persatuan Alumni India Universiti Malaya (PANIUM).

Sewaktu sesi tersebut, YBhg. Dato’ Seri Dr. Thaiveegan telah menyampaikan ceramah ringkas yang menekankan kepentingan kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah diri, pembangunan kemahiran insaniah serta kesedaran terhadap keselamatan diri dalam kalangan mahasiswa.

Antara perkara utama yang ditekankan YBhg. Dato’ Seri Dr. Thaiveegan ialah:

1. Mahasiswa perlu bersyukur dan menghargai peluang melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka, memandangkan ramai calon lain turut mempunyai impian yang sama.

2. Memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian dan bidang yang dipilih sebagai asas kejayaan masa hadapan.

3. Mengimbangi pengajian dengan melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum serta program yang dapat membentuk kekuatan rohani, jasmani dan kesejahteraan diri.

4. Bersikap proaktif dalam menimba ilmu serta menguasai pelbagai kemahiran hidup dan kemahiran insaniah sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan selepas tamat pengajian.

5. Sentiasa menjaga keperibadian, pertuturan dan tingkah laku kerana nilai diri mahasiswa turut mencerminkan imej, budaya dan reputasi Universiti Malaya.

6. Mengeratkan hubungan silaturahim sesama warga kampus, mematuhi peraturan universiti serta menghormati undang-undang negara.

7. Menjauhi pengaruh dadah dan kegiatan yang menyalahi undang-undang, disamping meningkatkan kewaspadaan terhadap penipuan kewangan, skim cepat kaya dan jenayah siber.

8. YBhg. Dato’ Seri Dr. Thaiveegan turut mengingatkan bahawa satu kesilapan dalam membuat keputusan boleh menjejaskan masa depan serta memusnahkan impian yang telah dibina.

Sebagai penutup, beliau menyatakan kesediaan untuk dihubungi oleh para mahasiswa yang memerlukan nasihat atau panduan melalui PANIUM atau PBTUM.

Sesi ini diharapkan dapat menjadi panduan dan pembakar semangat kepada mahasiswa dan mahasiswi baharu untuk memanfaatkan peluang sepanjang tempoh pengajian, membina jati diri yang kukuh serta melangkah ke alam pekerjaan sebagai graduan yang berilmu, berkemahiran dan berintegriti.

 

Recent Posts

Upcoming Events

Infographic

Majlis Sejarah Negara

Latest Video