Jawatankuasa Keselamatan Siber Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar & Penglibatan Komuniti) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menganjurkan Program ‘Cybersecurity Unplugged: Protecting Yourself in the Digital Age’ semalam.
Seramai 200 orang mahasiswa UIAM yang terdiri daripada Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan Kos Siswa Siswa Pertahanan Awam (SISPA) hadir memeriahkan program tersebut yang diadakan di Dewan Serbaguna Wadi Budi, UIAM Kampus Gombak.
Turut hadir, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Noordin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Keselamatan Siber MCPF merangkap Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar & Penglibatan Komuniti) UIAM; Lt. Col. Mustaffa Ahmad (Bersara) selaku moderator; Dato’ Ahmad Noordin Ismail, Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA); Datin Fauziah Mohd Ramly, Yayasan Nur Inspirasi; En. Ahmad Faizal Zulkipli, Yayasan Digital Malaysia; DSP Noorhamasiren Boonthnam Ekkasook, Setiausaha Eksekutif MCPF; kakitangan universiti dan sekretariat MCPF.
Pengisian program antara lain perkongsian berkaitan jenayah scam, risiko dunia siber, penceritaan jatuh bangun mangsa jenayah scam demonstrasi berkaitan secara terus aktiviti penggodaman data pengguna bersama peserta yang dikendalikan oleh Yayasan Digital Malaysia.
Program turut diselitkan dengan pameran daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Cybersecurity Malaysia dan syarikat perisian eScan.
Sekretariat MCPF turut mengadakan pameran pencegahan jenayah siber sempena program tersebut.