Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh di ibu pejabat AADK, Kajang pada 8 Ogos 2025.
Delegasi MCPF diketuai oleh Naib Pengerusi Kanan, YBhg. Dato’ Sri Ayub Yaakob yang turut disertai YBhg. Datuk Kamarudin Md Ali, EXCO merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pencegahan Jenayah dan Pemulihan Berkaitan Dadah serta sekretariat MCPF pusat.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai hala tuju serta kerjasama antara AADK dan MCPF, dengan fokus kepada usaha memperkukuh strategi pencegahan jenayah terhadap penyalahgunaan dadah di Malaysia.
Ini termasuk perbincangan mengenai kerjasama dalam program pencegahan berkaitan penagihan dan penyalahgunaan dadah yang bakal diadakan di beberapa kawasan tumpuan di seluruh negara membabitkan negeri Kedah, Kelantan Terengganu serta Pahang.
Hadir sama Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, YBrs. Tuan Azmi Mustafa; Pengarah Bahagian Pencegahan, YBrs. Tuan Zainudin Abdullah serta Pengarah Bahagian Dasar & Hubungan Antarabangsa, YBrs. Puan Zalwany Zalkaply.
Dalam kunjungan itu juga, delegasi MCPF turut dibawa melawat ke Pusat Gerakan Hotline (PGH) AADK dan Pusat Saringan Penilaian Dadah (DAC) AADK.