MCPF terus sebar kesedaran cegah jenayah di Kepala Batas

Sambutan_HAD_2026_web

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengadakan pameran kesedaran pencegahan jenayah sempena Majlis Sambutan Peringatan Hari Antidadah (HAD) Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Dataran Sungai Muda, Kampung Titi Merdeka, Kepala Batas Pulau Pinang pada 27 Jun 2026.

Sambutan yang dihadiri kira-kira 2,000 orang pengunjung setempat itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib, sebagai manifestasi solidariti padu antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Datuk Awang Alik Jeman; Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), YBhg. Dato’ Ruslin Jusoh; YH Dato’ Sri Johnny Ch’ng Ewe Gee dan YH Dato’ Kennard Ch’ng Ewe Kok, EXCO MCPF; AJK MCPF Pulau Pinang serta sekretariat MCPF Pusat.

Pada majlis tersebut, YBhg. Dato’ Ruslin menegaskan bahawa sambutan tahun ini mengetengahkan tema “Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama” bagi mengangkat isu dadah sebagai satu ancaman keselamatan negara dan bukannya lagi isu domestik semata-mata.

Tema tersebut diangkat selaras dengan Nilai Teras Keselamatan Negara 8, iaitu Pengukuhan Kesihatan Minda dan Ketahanan Rakyat, bagi membendung gejala dadah daripada meruntuhkan minda serta ketahanan modal insan negara.

Pulau Pinang telah dipilih sebagai lokasi sambutan kerana kedudukannya sebagai hab ekonomi, industri dan pelancongan yang padat bagi membolehkan mesej pencegahan disampaikan secara terus kepada golongan belia pekerja serta institusi kekeluargaan.

Pengisian acara antara lain, ceramah keselamatan jalan raya daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mesej solidariiti “Melawan Ancaman Dadah” oleh AADK, Sungai Muda Fun Walk 2026, demonstrasi anjing pengesan K9, Autoshow motosikal, jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan percuma dan pertunjukan ular.

Selain itu, program turut diselitkan dengan pameran daripada agensi kerajaan dan badan berkanun seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, PUSPEN, PERKESO, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat swasta.

Majlis Sambutan Peringatan Hari Antidadah (HAD) Peringkat Kebangsaan 2026
Search

Recent Posts

Upcoming Events

Infographic

Majlis Sejarah Negara

Latest Video