Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong usaha pencegahan jenayah dan pemulihan pesalah apabila menyertai Program Psychology Role Play Prospek Helper anjuran Jabatan Penjara Malaysia yang berlangsung di Dewan Perdana, Penjara Bentong, Pahang pada 16 Julai 2026.
Program yang dihadiri kira-kira 200 penghuni dan pegawai Penjara Bentong telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Amizar Abu Adam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang.
Hadir sama, Dato’ Kennard Ch’ng Ewe Kok, EXCO MCPF; TKP Ahmad Rizal Mohd Ghazali, Pengarah Penjara Pahang; TKP Norhaizan Md Isa, Pengarah Bahagian Agama dan Kaunseling Jabatan Penjara Malaysia dan pengarah penjara negeri.
Pengisian program antara lain “Forum Psychology” yang mengetengahkan YBhg. Dato’ Kennard Ch’ng Ewe Kok sebagai ahli panel bersama wakil Jabatan Penjara Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Forum tersebut membincangkan kepentingan sokongan psikologi, pembangunan sahsiah, nilai kepimpinan serta peranan komuniti dalam membantu proses pemulihan penghuni institusi pemulihan.
Program Psychology Role Play Prospek Helper merupakan satu inisiatif yang bertujuan membentuk budaya saling membantu dalam kalangan penghuni penjara, di samping memperkukuh hubungan positif antara prospek, pegawai dan pihak pengurusan institusi.
Melalui pendekatan “helper system”, peserta dilatih menjadi individu contoh yang mampu membimbing rakan sebaya, menggalakkan perubahan tingkah laku serta menyokong proses rehabilitasi secara lebih berkesan.









