Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) telah mengadakan Mesyuarat EXCO Bil. 2-2026 bertempat di Rumah Kelab Pesatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) pada 25 November 2026.
Mesyuarat yang dihadiri ahli EXCO penggal 2026/2029 itu telah dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi MCPF, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hadir sama, YDH IG Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Khalid Haji Ismail, Ketua Polis Negara merangkap Timbalan Pengerusi MCPF dan YBhg. Dato’ Sri Dr. King Lim Chin Fui, Naib Pengerusi Kanan MCPF.
Turut hadir, dua Naib Pengerusi MCPF iaitu YBhg. Dato’ Seri Dr. Thaiveegan A/L Arumugam dan YBhg. Datuk Muhammad Fuad Talib serta Bendahari MCPF, YBhg. Dato’ Seri Dr. Erwan Dato’ Haji Mohd Tahir.
Dalam mesyuarat tersebut, YB Pengerusi memberi penekanan tentang hala tuju MCPF agar program pencegahan yang dilaksanakan lebih berfokus mengikut tema dan kumpulan sasaran, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan belia.
Mesyuarat turut diselitkan dengan taklimat berkaitan “Statistik Kes Bunuh Diri” daripada Jabatan Pengurusan Bukit Aman dan “Laporan Penagih dan Penyalahguna Dadah dan Bahan di Malaysia” oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Sehubungan itu, katanya, MCPF dilihat mempunyai ruang untuk memainkan peranan yang lebih besar dengan memanfaatkan kepakaran, pengalaman dan jaringan kerjasama strategiknya bagi mendekati masyarakat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pencegahan jenayah.
“Saya mahu MCPF terus bergerak sebagai sebuah yayasan yang dekat dengan masyarakat. Pencegahan jenayah bukan semata-mata tanggungjawab pasukan penguat kuasa, tetapi memerlukan keprihatinan, kesedaran dan penglibatan kita semua,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Dalam pada itu, mesyuarat antara lain membentangkan perancangan program bagi tahun 2026 dan 2027, membincangkan hala tuju MCPF bagi penggal 2026/2029 serta sesi penyerahan watikah pelantikan kepada Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Tetap, EXCO lantikan dan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri.









